arena

Pochettino mahu gelaran EPL, UCL

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino percaya dia mungkin dipecat jika pasukannya hanya memburu trofi domestik daripada menamatkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana.

Spurs memulakan kempen pusingan ketiga Piala FA dengan menentang kelab Liga Dua, Tranmere Rovers awal pagi ini sebelum menentang Chelsea dalam aksi peringkat pertama separuh akhir Piala Liga, awal pagi Rabu depan.

Spurs gagal menjuarai kejuaraan utama sejak 1961 dan trofi terakhir dimenangi ialah Piala Liga 2008.

Pochettino pula menegaskan hanya trofi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara mampu membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.

"Jika hasrat saya hanya muncul juara Piala Carabao dan Piala FA, saya fikir ia tidak menepati sasaran Tottenham,” katanya kepada wartawan.

"Cita-cita saya mahu menjuarai Liga Juara-Juara atau Liga Perdana bersama Spurs suatu hari nanti.”

“Di sesetengah kelab jika anda gagal menjulang trofi, anda gagal. Tapi projek kami di Tottenham berbeza. Kami ada agenda yang lebih besar berbanding hanya fokus trofi,” kata Pochettino.

"Tapi itu tidak bermakna kami tidak memandang serius aksi menentang Chelsea di Piala Carabao atau Piala FA.”

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 4:24pm
d