arena

'Biarlah bersih, bebas doping'

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mahu memastikan arena berbasikal negara terus bersih daripada penggunaan bahan terlarang pada tahun ini.

Tiada kes direkodkan pada 2018 dengan insiden terakhir kesalahan doping adalah membabitkan atlet berbasikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohammed Shahrul Afiza Fauzan semasa Tour de Selangor (TdS) pada Oktober 2017.

Amarjit sebagai Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping PKBM ketika itu menjatuhkan hukuman penggantungan empat tahun pada Januari 2018.

"Saya mengharapkan tiada insiden penggunaan bahan terlarang berlaku tahun ini. Kami akan sentiasa berkerjasama rapat dengan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS). Mereka mempunyai kepakaran dalam perkara ini. Semua aspek yang berkaitan dan dirancang, kami akan berhubung dengan mereka," katanya.

Malaysia mengharungi dua temasya besar tahun lalu, Sukan Komanwel dan Asia namun Amarjit menjelaskan sehingga kini tiada sebarang makluman penggunaan bahan terlarang membabitkan atlet negara. 

"Pada peringkat antarabangsa, tindakan tegas digunakan untuk menguatkuasakan peraturan sedia ada, jadi tindakan sama juga diambil di Malaysia bagi membendung penggunaan bahan terlarang," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

Malah Amarjit menjelaskan ACC akan menjalankan kursus kesedaran mengenai doping di peringkat Asia yang dijangka berlangsung di Malaysia pada April nanti yang turut membabitkan pegawai tempatan.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 4:35pm
d