arena

Nidzam berguru dengan Zainal di Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Bekas jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff yang kini menjadi pembantu jurulatih Melaka United akan terus memberi fokus dalam usaha memastikan kejayaan terbaik buat skuad itu musim ini.

Beliau juga menganggap kehadirannya di Melaka sebagai langkah dan proses pembelajaran ilmu bola sepak dan kejurulatihan bersama ketua jurulatih berpengalaman, Zainal Abidin Hassan.

Katanya, banyak yang perlu dipelajari daripada bekas pemain kebangsaan dan jurulatih Selangor dan Pulau Pinang itu dalam usaha memastikan kerjaya kejurulatihannya terus mantap.

“Harapan tinggi peminat harus dipenuhi, justeru komitmen tinggi pemain amat diperlukan dalam misi memastikan sasaran Melaka menjadi kenyataan.

“Jika tanpa kesungguhan dan fokus sama ada dalam atau luar padang, sudah pasti kejayaan gemilang sukar dicapai, namun apa yang memberangsangkan, pemain dilihat menampilkan semangat juang positif ketika sesi latihan dan perlawanan persahabatan setakat ini,” katanya.

Nidzam sebelum ini pernah melakar kejayaan sebagai jurulatih dan pembantu jurulatih termasuk juara Piala FA, Piala Sumbangsih, Piala Malaysia bersama Kedah (2016 dan 2017) serta juara Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia 2015.

Beliau yang pernah melatih Kuala Muda Naza, Perlis, Sime Darby dan FELDA United melihat skuad semasa mampu melonjakkan kembali skuad Hang Tuah.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 6:12pm
d