arena

Dana tabung CAS kini RM5,074

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Dana lebih kurang RM100,000 menjadi sasaran Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk dikumpul daripada tabung khas persatuan itu bagi membawa kes pemain tengah Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menjelaskan tabung dikenali sebagai Tabung CAS KFA yang dilancarkan semalam sudah mengumpul RM5,074 setakat jam 5.30 petang tadi.

Malah, beliau menaruh keyakinan tinggi sasaran yang ditetapkan KFA itu boleh dicapai berdasarkan pergerakan pantas dalam transaksi sumbangan ke akaun tabung itu.

“Terima kasih kepada semua penyumbang kerana walaupun kami baru saja buka hari ini kerana lewat malam tadi ada sedikit masalah teknikal, tapi Alhamdulillah pagi ini penyumbang sudah boleh membuat sumbangan ke tabung berkenaan.

“Malah, dalam masa tak sampai sehari sudah mencecah RM5,074 dan transaksi itu sentiasa bergerak. Walaupun derma itu tak banyak dengan RM5 dan RM10, tapi ia menunjukkan sokongan ikhlas daripada penyokong, saya sendiri pun terharu.

“Sasaran kami untuk mengumpul lebih kurang RM100,000 dan tabung itu akan diteruskan hingga pada satu masa ia akan dibincangkan pihak pengurusan untuk ke Switzerland (pejabat CAS),” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

KFA berkeras untuk membawa kes perpindahan kontroversi Akhyar ke Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM menolak rayuan KFA berhubung keputusan Jawatankuasa Status badan induk itu yang memutuskan Akhyar dibenarkan menebus baki kontrak setahun bersama Helang Merah dengan nilai RM210,000 selain Harimau Selatan perlu membayar RM75,000 sebagai pampasan latihan.

Semalam, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menganggarkan kos keseluruhan untuk KFA membawa kes itu ke CAS boleh mencecah AS$25,000 (kira-kira RM103,000) yang merangkumi perbelanjaan pengangkutan, hotel dan sebagainya.

Ditanya mengenai bilakah KFA akan membawa kes itu secara rasmi ke CAS, Asmirul berkata: “Minggu depan kami dah mula bincang dengan peguam sekali lagi untuk proses akhir dan selepas itu kami akan mula failkan kes ini.”

Selain itu, Asmirul berkata, kes itu tetap akan berjalan walaupun Akhyar mungkin beraksi bersama JDT menjelang Liga Malaysia (Liga-M) yang membuka tirai kira-kira sebulan lagi.

“Kalau tanya saya, perjalanan kes itu tiada masalah. Dia (Akhyar) mungkin akan bermain dengan JDT tapi kes mahkamah ini seperti biasa dan tetap akan berjalan hingga keputusan dibuat,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 7:46pm
d