arena

Maradona sudah keluar hospital

Oleh Reuters

BUENOS AIRES: Legenda Argentina, Diego Maradona dibenarkan keluar dari hospital selepas dimasukkan ke wad awal pagi semalam kerana pendarahan dalaman di perut yang ditemui ketika pemeriksaan rutin, kata anak perempuannya, Dalma.

“Buat mereka yang benar-benar bimbang mengenai ayah saya, saya boleh beritahu yang keadaannya sudah baik,” kata Dalma menerusi twitter selepas kebimbangan mengenai kesihatan ayahnya tersebar. “Dia akan pulang tidak lama lagi.”

Legenda berusia 58 tahun itu menjalani rutin perubatan di tanah air sebelum kembali ke Mexico tempat dia menjadi jurulatih kelab divisyen dua, Dorados de Sinaloa, ketika doktor menemui masalah berkenaan.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan keluarga itu memberitahu bahawa masalah itu tidak serius dan bekas pemain tengah Boca Juniors, Napoli dan Barcelona itu, yang terkenal apabila membawa negaranya menang Piala Dunia 1986, tidak berdepan bahaya.

Satu lagi sumber memberitahu Maradona, yang meninggalkan hospital tanpa bercakap dengan media, mungkin akan menjalani lebih banyak ujian.

Kejadian semalam adalah yang terbaru berlaku kepada Maradona, yang kerap berada di hospital sejak beberapa tahun lalu, terutama kerana gaya hidupnya yang membantu menjadikannya antara pemain bola sepak paling dikagumi dan ikon pada abad ke-20.

Kali terakhir dia jatuh sakit ialah pada Piala Dunia 2018 di Russia, apabila rakaman menunjukkan dia pengsan dalam bilik eksekutif untuk perlawanan Argentina-Nigeria.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 9:43am
d