arena

Murray ketepikan kejohanan pemanas badan

Oleh Agensi

LONDON: Menjelang saingan Terbuka Australia, Andy Murray hanya beraksi dua perlawanan sejak September lalu dan enggan beraksi pada saingan pemanas badan di Sydney.

Pemain dari Scotland itu mara sehingga ke pusingan kedua di Brisbane International, yang juga kejohanan pertamanya sejak kembali beraksi selepas kecederaan pinggang yang berpanjangan.

Murray mengambil keputusan untuk tidak beraksi di Sydney International, sebaliknya mengambil penerbangan terus ke Melbourne untuk melakukan persediaan saingan Grand Slam pertama tahun ini.

Gambar yang dimuat naik di akaun media sosial miliknya semalam menunjukkan tiket penerbangan dari Brisbane ke Melbourne.

Sejak kembali beraksi, Murray berjaya memenangi perlawanan pertama minggu ini ketika bertemu wakil Australia, James Duckworth sebelum tewas pada pusingan kedua kepada pemain nomnor 16 dunia, Daniil Medvedev. 

Murray ketika ditemuramah ketika itu mengakui dia masih berasa sakit di bahagian pinggang dan tidak pasti berapa lama lagi mampu beraksi.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, dia berasa lebih sakit apabila berjalan dan ia lebih sukar berbanding pergerakan di atas gelanggang.

Pemain nombor satu Britain, Kyle Edmund juga tidak pulih sepeluhnya selepas menarik diri di Sydney International kerana kecederaan lutut.

Pemain berusia 23 tahun yang menduduki ranking ke-14 dunia itu berjanji akan mempamerkan aksi sebaik mungkin untuk pulih sepenuhnya sebelum perlawanan pertama Terbuka Australia yang bermula 14 Januari ini.

Edmund melangkah ke separuh akhir di Melbourne tahun lalu, tetapi musim ini gagal bermula dengan baik. Dia tewas perlawanan pembukaan kepada wakil Jepun, Yasutaka Uchiyama.

Maria Sharapova juga satu lagi nama besar yang masih tidak pasti dapat beraksi di Terbuka Australia kerana kecederan paha di Terbuka Shenzhen semalam.

 

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 1:09pm
d