arena

Sukar pertahan emas - Jupha

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Jupha Somnet mengakui berdepan misi sukar untuk mempertahankan emas acara perlumbaan mata pada Kejohanan Trek Asia 2019 di Jakarta, minggu depan.

Tanpa sebarang kejohanan kompetitif sejak berakhir Sukan Asia pada Ogos tahun lalu, pelumba kelahiran Perlis itu menjangkakan saingan sengit pencabar dari Korea Selatan, China, Hong Kong dan Jepun pada saingan di Velodrom Antarabangsa Jakarta.

"Sebenarnya saya agak ‘takut’ kerana tidak beraksi pada sebarang kejohanan antarabangsa selepas Sukan Asia. Sukar untuk meramalkan prestasi semasa pencabar dengan saya sendiri tidak keluar bertanding bagi menilai tahap semasa diri sendiri," jelasnya.

Jupha melakar emas tunggal negara pada peringkat elit edisi 2018 di Velodrom Nasional, Nilai dengan mengumpul 35 mata, mengetepikan Xiaojuan Diao dari Hong Kong untuk perak manakala pelumba Taiwan, Ke Xin Zeng meraih gangsa.

"Latihan banyak dijalankan di Velodrom Nilai dan hanya berlumba dalam kejohanan tempatan seperti Junior Cycling Malaysia (JCM)," tambahnya.

Selain perlumbaan mata, pelumba endurance negara itu dijadual menyertai acara omnium dengan sasaran membaiki kedudukan kelima yang diraih pada edisi 2018.

Skuad trek diketuai Azizulhasni Awang akan menggalas cabaran negara di edisi ke-39 yang turut dilangsungkan serentak bersama Kejohanan Trek Remaja Asia ke-26 dan Kejohanan Trek Para Asia ke-8.

 

 

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 5:49pm
d