arena

Nishikori jejak final Antarabangsa Brisbane

Oleh AFP

BRISBANE: Bintang Jepun, Kei Nishikori mempamerkan prestasi terbaik ketika menewaskan Jeremy Chardy 6-2, 6-2 dalam aksi separuh akhir Kejohanan Antarabangsa Brisbane, hari ini.

Pemain berusia 29 tahun itu langsung tidak memberi peluang kepada pemain Perancis itu menerusi kawalan gelanggang yang mantap untuk mara ke final buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Selepas menewaskan Grigor Dimitrov pada peringkat suku akhir, Nishikori berkata, dia mula memasang impian menduduki kelompok lima terbaik dunia selepas terperosok di tangga ke-39 pada April lalu akibat kecederaan pergelangan tangan pada hujung 2017 yang memaksanya berehat daripada beberapa kejohanan.

Dia membuktikan kesungguhan untuk mencapai sasaran itu dengan mempamerkan aksi penuh kualiti ketika menewaskan Chardy dalam masa 66 minit di Arena Pat Rafter.

Dia hanya mencipta dua servis ace berbanding 11 yang dilakukan Chardy namun berjaya mengembalikannya dengan tangkas dan dua kali berjaya mematahkan servis pemain Perancis itu dalam kedua-dua set.

Nishikori tampak lincah bergerak keseluruhan gelanggang dengan kepantasannya tidak terjejas dengan kecederaan dialami tahun lalu.

"Semuanya berjalan lancar hari ini," kata Nishikori.

"Saya rasa seperti terlalu laju dan sangat bagus.”

Nishikori muncul naib juara kepada Dimitrov pada 2017 dan akan menentang pilihan keempat dari Russia, Daniil Medvedev atau pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga pada final esok.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 6:27pm
d