arena

Solskjaer kekal permulaan sempurna

Oleh Reuters

LONDON : Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer meraih kemenangan kelima berturut-turut sejak menjadi pengurus sementara ketika pasukannya menewaskan kelab bermasalah divisyen dua Reading 2-0 di laman sendiri pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris, sebentar tadi.

Sepakan penalti Juan Mata dan gol menarik pada masa kecederaan babak pertama oleh Romelu Lukaku, yang beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak Solskjaer mengambil alih, membantu United layak ke pusingan keempat.

Ia persembahan hambar oleh juara Piala FA 12 kali itu di Old Trafford, yang mana Reading lebih memukau namun ia mengekalkan permulaan impian buat Solskjaer di kerusi panas yang dikosongkan oleh Jose Mourinho bulan lalu.

West Ham menyertai United ke pusingan berikutnya selepas menundukkan kelab divisyen dua Birmingham City 2-0 di Stadium London – dengan Samir Nasri melakukan kemunculan sulung buat Hammers pada perlawanan pertamanya sejak melengkapkan penggantungan doping 18 bulan.

Penyerang Austria, Marko Arnautovic meletakkan West Ham di depan namun kemudian digantikan kerana cedera.

Kelab bermasalah Liga Perdana, Burnley dipaksa bekerja keras sebelum menang 1-0 ke atas pasukan divisyen tiga Barnsley 1-0 pada perlawanan yang diganggu pengadil bantuan video (VAR) pada babak pertama.

Burnley dianugerahkan sepakan penalti kerana kekasaran terhadap Matej Vydra namun ketika dia mahu mengambil sepakan penalti itu, pengadil Simon Hooper membuat keputusan tidak membenarkan sepakan itu kerana terlebih dahulu ofsaid.

Chris Wood memastikan kemenangan buat Burnley menerusi sepakan penalti pada minit kedua masa kecederaan.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 11:48pm
d