arena

Norhafiz perkasa NS

Oleh Metro Arena

SEREMBAN: Skuad bola sepak Negeri Sembilan (NS) sah mendapatkan khidmat pemain berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah bagi memperkasa pasukan itu mengharungi kempen Liga Malaysia yang bermula bulan depan.

Pengurus pasukan, Mohd Khairolah Abdul Latif, berkata khidmat pemain berusia 38 tahun itu amat ditagih bagi mengemudi bahagian pertahanan skuad yang diberi gelaran Hoben Jang Hoben.

“Norhafiz yang pernah beraksi bersama Pahang, KL Plus dan Kelantan memeterai kontrak selama setahun dalam misi mengembalikan pasukan ke saingan Liga Super, musim depan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mohd Khairolah berkata, NS yang menyasarkan sekurang-kurangnya di tempat kedua Liga Perdana untuk kembali ke kancah liga utama musim depan sudah memuktamadkan senarai penuh 21 pemain tempatan dengan 10 pemain adalah anak jati negeri berkenaan.

"Bagi kuota import, kami mendapatkan khidmat pemain pertahanan, Matheus Fernandes Vila Real dari Brazil yang akan bergandingan bersama Norhafiz di posisi pertahanan.

"Pada masa sama, kami mendapatkan khidmat bekas pemain PDRM dan Kuantan FA, Shunsuke Nakatake dari Jepun yang akan memperkemaskan bahagian tengah," katanya dengan baki dua pemain import akan ditentukan kemudian dan pasukan itu sedang menguji beberapa pemain lain.

Selain Norhafiz, NS akan dibarisi Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman, Muhammad Hamka Daud, Mohamad Fadzley Abdul Rahim, R Aroon Kumar, Muhamad Danish Haziq Saipul Hashim, Osman Mohd Yusoff, Izzaq Izhan Yuswardi, L Kalaiharasan, Adam Othman Mohd Arfah dan Muhamad Ferris Danial Mat Nasir.

Melengkapkan senarai pemain tempatan ialah Mohammad Aiman Khalidi, Muhamad Asraf Roslan, G Durrkeswaran, Danial Hadri Effandi Jagan, Mohamad Ridzuan Abdollah Pula, Dzulfahmi Abdul Hadi, Abdul Halim Zainal, Mohd Fauzi Abdul Latif, Izuan Salehudin dan Azrul Nizam.

NS yang musim ini dibimbing jurulatih baharu, Mat  Zan Mat Aris akan dibantu penolong jurulatih 1, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad dan Azhar Dol sebagai jurulatih penjaga gol.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 8:40pm
d