arena

Guardiola puji aksi De Bruyne

Oleh AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola memuji Kevin De Bruyne yang memberi suntikan tambahan kepada kekuatan skuad Manchester City dalam usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana daripada pencabar terdekat yang juga pendahulu liga, Liverpool. 

Perancang Belgium itu kembali daripada kecederaan dengan aksi meyakinkan ketika City mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas Rotherham pada pusingan ketiga Piala FA di Etihad Stadium, semalam.

De Bruyne, 27, adalah watak penting ketika City meraih 100 mata musim lalu, tetapi sudah diketepikan sebanyak dua kali pada musim ini kerana masalah lutut serta kecederaan lain, dengan Liverpool terus unggul menduduki tangga teratas liga.

“Saya sering katakan betapa pentingnya De Bruyne kepada kami. Tanpanya mungkin sukar untuk kami meraih kejuaraan pada musim lalu.

“Setakat ini kami sudah melakukan yang terbaik, tetapi Liverpool nyata mempamer aksi lebih baik.

“Mereka melakukannya ketika ketiadaaan De Bruyne,” katanya. 

De Bruyne terlepas beraksi dua perlawanan terakhir sebelum ini berikutan kecederaan otot termasuk ketika City meraih kemenangan 2-1 ke atas Liverpool, Khamis lalu yang menyaksikan mereka kini hanya kurang empat mata di belakang skuad bimbingan Jurgen Klopp itu. 

Guardiola percaya City dan De Bruyne mampu mengatasi lawan mereka itu, jika mereka terus kekal konsisten dengan aksi yang cukup meyakinkan sepanjang baki saingan liga musim ini.

“Kini dia sudah kembali cergas sepenuhnya dan pasti akan membantu pasukan selepas ini,” katanya.  

 

 

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 9:47am
d