arena

'Ini tak boleh diterima'

Oleh AFP

SAINT-ETIENNE, Perancis: Jurulatih Marseille, Rudi Garcia berang dengan barisan pemainnya selepas dimalukan pasukan divisyen empat, Andrezieux 0-2, pada kempen Piala Perancis, manakala Paris Saint-Germain (PSG) pula tidak berdepan masalah menewaskan pasukan divisyen kelima, Pontivy.

Gol jaringan Bryan-Clovis Ngwabije pada minit ke-17 dan Florian Milla tujuh minit sebelum tamat perlawanan sudah cukup untuk memalukan Marseille yang melangkah ke final Piala Europa musim lalu, sekaligus menyaksikan mereka gagal mencipta kemenangan sepanjang tujuh perlawanan. 

“Ini tidak boleh diterima. Tahniah kepada Andrezieux yang mempamerkan semangat untuk menang, faktor yang kurang di pihak kami,” kata Garcia.

Sementara itu, PSG tidak berdepan masalah menewaskan Pontivy 4-0, di sebalik melakukan banyak pertukaran pemain dan beraksi di bawah kemampuan sebenar. 

Neymar dan Kylian Mbappe menyumbang gol untuk pendahulu Ligue 1 itu, selepas Sylvain Jule menjaringkan gol ke gawang sendiri. 

Julian Draxler kemudiannya melengkapkan kemenangan PSG dengan gol keempat, tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Di Saint-Etienne, sebanyak 28 cubaan Marseille gagal menembusi gawang lawan dengan Garcia melabelkan perlawanan itu sebagai hari malang untuk kelabnya. 

Prestasi buruk Marseille menyaksikan mereka tersingkir dalam saingan domestik dan Liga Europa. Mereka tersingkir awal pada saingan peringkat kumpulan bulan lalu, selepas hanya meraih satu mata daripada enam perlawanan dan menduduki tangga tercorot Kumpulan H.

Marseille juga ketinggalan 20 mata di belakang PSG, tetapi paling penting ialah ketinggalan lima mata di belakang Lyon untuk slot ke Liga Juara-Juara.   

 

 

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 10:16am
d