arena

Perlis boleh lupakan Cheng Hoe

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) perlu melupakan hasrat untuk ‘meminang’ Tan Cheng Hoe selepas pengendali berusia 51 tahun itu dijangka kekal membimbing Harimau Malaya.

Ini selepas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberi bayangan betapa badan induk itu bersedia untuk terus memberi kepercayaan kepada Cheng Hoe selepas kontraknya berakhir, minggu lalu.

“Secara dasarnya, Cheng Hoe berpeluang cerah untuk terus mengendalikan pasukan kebangsaan.

“Ini selepas menilai persembahan skuad kebangsaan yang berjaya meraih gelaran naib juara Piala AFF 2018 dan peningkatan dari segi corak permainan ditunjukkan pemain.

“Apapun, keputusan rasmi hanya akan diumumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) yang berlangsung esok,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, ketika FAM hanya akan memutuskan masa depan Cheng Hoe dalam satu mesyuarat yang akan berlangsung esok, timbul pula spekulasi baharu berkenaan jurulatih itu.

Nama bekas pengendali Kedah itu dikatakan kini berada dalam radar PFA untuk mengisi jawatan sebagai pengarah bola sepak skuad Singa Utara, seperti dimuat naik di laman Facebook NorthernLions Perlis.

"Pengurusan PFA sedang mencari pengarah bola sepak yang baharu bagi membantu pasukan menghadapi Liga Perdana 2019.

“Beberapa nama disenarai pendek dan Tan Cheng Hoe juga berada dalam pemerhatian PFA kerana beliau kini adalah ejen bebas berikutan kontrak beliau yang masih belum disambung oleh FAM,” kata kenyataan itu, semalam.

 

 

 

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 4:01pm
d