arena

Akhyar boleh beraksi tapi...

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Hasrat Akhyar Rashid untuk beraksi buat kali pertama dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini mungkin terbantut sekiranya dia masih belum mendapat sijil perpindahan negeri daripada bekas majikannya.

Menurut peguam undang-undang sukan Zhafri Aminurashid, JDT perlu mendapatkan sijil itu daripada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk membolehkan bintang berusia 19 tahun itu beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Juara Liga Super itu dijadual berdepan Perak pada aksi Piala Sumbangsih pada 1 Februari depan.

Bagaimanapun, sekiranya KFA berdegil enggan menyerahkan sijil, Harimau Selatan masih boleh memohon kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengeluarkan sijil sementara sebelum kesnya diputus oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

KFA bercadang mengheret isu Akhyar ke CAS di Lausanne, Switzerland selepas persatuan itu tidak berpuas hati dengan keputusan FAM membenarkan Akhyar menebus kontraknya dengan bayaran RM210,000 dan wang pampasan RM75,000.

“Jika KFA tak lepaskan, JDT boleh mohon kepada FAM. Jika FAM mendapati tiada apa-apa pelanggaran kontrak berlaku, FAM boleh keluarkan sijil perpindahan itu.

“Lagipun, Jawatankuasa Status FAM sudah membenarkan Akhyar untuk menebus kontrak. Jadi FAM boleh berikan sijil Akhyar kepada JDT selaras dengan keputusan mereka sebelum ini,” katanya kepada Sukan NSTP, semalam.

Terdahulu, Akhyar mula menyertai latihan buat kali pertama bersama pasukan juara Liga Super lima kali, JDT sejak kelmarin.

Dengan kehadiran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, penyerang muda terbaik kebangsaan itu kelihatan penuh bersemangat di sebalik kemelut antara JDT dan bekas pasukannya Kedah.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 4:22pm
d