arena

PAFA ikut FAS tutup 'pintu belakang'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kini sedang membincangkan bagi membuat klausa baharu termasuk syarat pelepasan dalam kontrak semua pemain skuad The Bos Gaurus terutama pemain muda yang berpotensi dan bernilai dalam menangani isu pemain 'dicuri' pasukan lain.

Pengurusnya, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, tindakan 'mencuri' pemain adalah sesuatu yang tidak bagus dalam kancah bola sepak.

Menurutnya, Perak memang terkenal antara 'kilang' yang melahirkan ramai pemain bola sepak berbakat terutama pasukan belia seperti skuad Piala Presiden dan Sukan Malaysia (SUKMA), maka langkah mewujudkan klausa pelepasan pemain perlu dilakukan segera bagi mengekang perkara berkenaan berlaku.

"PAFA sendiri memang merancang untuk membuat klausa baharu itu dan perkara ini sedang dibincangkan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Presiden PAFA.

"Kami tidak mahu pemain yang digilap dari mula hingga menjadi pemain yang bagus, namun tiba-tiba pemain itu dicuri pasukan lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Adly Shah berkata, pendekatan itu bukan bertujuan menekan pemain dengan kontrak sedemikian tetapi ia adalah situasi menang-menang bagi semua pihak.

"Dengan adanya klausa itu, hak PAFA lebih terjamin sebagai pasukan yang sudah berbelanja besar terhadap seseorang pemain dan pemain pula dilindungi dengan terma serta syarat kontrak yang dipersetujui bersama," katanya.

Menurutnya, perubahan itu perlu dilakukan demi kebaikan arena bola sepak negara yang semakin berkembang.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dilaporkan bertindak awal sebelum menjadi mangsa 'rundingan belakang' apabila meletakkan klausa pelepasan ke atas semua pemain skuad Red Giants musim ini.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, purata tanda harga yang perlu dibayar mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pemain Selangor adalah antara RM3 juta hingga RM6 juta.

Jelasnya, isu perebutan pemain muda negara, Akhyar Rashid antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu diambil iktibar oleh semua pasukan terutamanya dalam memperkenalkan klausa pelepasan dalam kontrak pemain dan harus memperbaharui kontrak mengikut garis panduan diletakkan oleh FAM.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 5:25pm
d