arena

Akhimullah, Luqman pikat Kuhan

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Legenda hoki negara, S Kuhan mengakui sungguh tertarik dengan kemampuan beberapa pemain muda yang tampil bertenaga sepanjang kempen Piala Tan Sri P Alagendra yang berkesudahan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul juara, semalam.

Biarpun ia sekadar pentas pemanas badan sebelum aksi sebenar kempen Liga Premier menyingkap tirainya Jumaat ini, kelibat pemain muda seperti penggempur TNB, Akhimullah Anuar Esook dan pertahanan kanan Pasukan Hoki Terengganu (THT), Luqman Nul Hakim Ahmad Skukran ternyata menambat hati Kuhan.

"Melihat kepada persembahan beberapa perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, saya fikir nombor 10 TNB (Akhimullah) mempunyai potensi besar dan boleh diserap ke dalam skuad kebangsaan pada bila-bila masa," kata Kuhan.

"Seorang lagi pemain yang perlu diberi perhatian ialah nombor 9 THT (Luqman Nul Hakim), nampak tenang di posisi pertahanan kanan."

Kuhan berkata demikian selepas ditemui pada pentas final Piala Tan Sri P Alagendra semalam yang menyaksikan TNB mengatasi THT 2-1 hasil jaringan minit akhir Akhimullah.

Ia jaringan yang beremosi buat penyerang berusia 19 tahun itu selepas terpaksa bergegas pulang dari Kuala Terengganu untuk bersama pasukannya kerana nenek sebelah ibunya meninggal dunia, kelmarin.

Jelas Kuhan yang juga bekas pakar pukulan sudut penalti dan pernah beraksi 344 kali bersama skuad negara, pujian wajar diberikan kepada Akhimullah kerana menunjukkan kematangan untuk beraksi di peringkat tertinggi.

"Saya suka melihat aksinya... langsung tidak menunjukkan ketakutan berdepan pemain kebangsaan, Jumaat lalu ketika bertemu UniKL perkara sama dilakukannya," katanya.

Selain penyerang kelahiran Terengganu itu, tidak mustahil beberapa pemain muda lain yang diketengahkan TNB pada musim ini seperti Shello Silverius, 19; Amirul Hamizan Azahar, 18; Azrai Aizad Abu Kamal, 19; dan Muhammad Arif Syafie Ishak, 18 juga bakal mencuri tumpuan ketua jurulatih baharu kebangsaan Roelant Oltmans selepas ini.

Walaupun belum ada pencapaian besar di peringkat remaja dan masih jauh jika dibandingkan dengan barisan skuad Projek 2013, namun barisan pemain remaja itu dilihat mempunyai keupayaan dan bakat yang besar untuk mencipta kejayaan gemilang di pentas dunia sekiranya mendapat pendedahan secukupnya.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 6:13pm
d