arena

Harga tinggi elak rundingan 'pintu belakang'

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kedah Darul Aman (KEFA) menganggap pasukan yang mahu meletak nilai harga pada klausa pelepasan pemain bagi mengelak pemain keluar ikut 'rundingan pintu belakang' sebagai satu langkah bijak dan mampu menyelesaikan masalah berkaitan pelepasan kontrak pada masa depan.

Presidennya, Khamal Idris Ali berkata, sudah tiba masa Kedah dan juga mana-mana pasukan lain menambah klausa pelepasan pemain dengan harga bersesuaian agar tidak timbul konflik berkaitan jumlah pampasan yang tidak dipersetujui dan mungkin berpanjangan.

"Meletakkan nilai harga pelepasan dalam perjanjian kontrak yang dibuat sesetengah persatuan yang kita lihat hari ini merupakan langkah penambahbaikan yang patut dilakukan dalam memastikan hak persatuan atau kelab lebih terjamin."

"Kami juga melihat Selangor telah mengumumkan tanda harga perlu dibayar mana-mana pihak yang berminat mendapatkan pemain mereka dengan harga antara RM 3 juta hingga RM 6 juta dan ini termasuk pemain berharga mereka iaitu Syahmi Safari."

"Ini salah satu cara untuk melindungi hak serta kepentingan persatuan dan pemain yang sudah mengeluarkan bajet dan perbelanjaan besar untuk 'melahirkan' pemain berkenaan.”

Khamal turut menyatakan isu Akhyar Rashid bakal menjadi panduan untuk semua pasukan agar lebih bersedia seandainya menghadapi 'rundingan pelepasan' di masa hadapan.

"Bila ada klausa tambahan berkenaan maka hak kelab keatas pemain akan terjamin kerana sudah pasti kelab mahukan ganjaran setimpal selepas bertungkus-lumus mendedahkan bakat dan kemahiran pemain yang sudah diasah itu."

"Ramai pemain muda tidak arif dalam memahami apa yang boleh berlaku kepada mereka dari segi undang undang dan oleh itu, pihak persatuan atau kelab haruslah menjelaskan perjanjian ini untuk kepentingan kedua-dua belah pihak."

"Mana-mana persatuan dan kelab juga harus meneliti kelemahan yang wujud dalam perjanjian yang dilakukan sebelum ini dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini agar tidak berisiko rugi bila berhadapan situasi pelepasan," katanya

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 7:11pm
d