arena

Spurs jadi medan uji Solskjaer, MU

Oleh AFP

LONDON: Pertahanan Manchester United, Phil Jones berkata, pertemuan dengan Tottenham, Ahad ini menguji kekuatan kelab itu di bawah kendalian pengurus sementara Ole Gunnar Solskjaer.

United memenangi kesemua lima perlawanan sejak kehadiran Solskjaer di Old Trafford berikutan pemecatan Jose Mourinho bulan lalu, justeru pertembungan dengan Spurs yang menghuni tangga ketiga Liga Perdana di Wembey menjadi cabaran paling sukar Red Devils.

“Spurs adalah ujian yang bagus,” kata Jones. “Kami berada di prestasi yang baik dan meraih momentum. Kami mendaki dengan konsisten. 

“Tetapi kami belum melakukan apa-apa, belum mencapai apa-apa tetapi perlu meneruskannya. Mungkin Spurs boleh menjadi kayu pengukur buat kami dan sejauh mana kami perlu pergi dan ia adalah perlawanan yang kami perlu menang.

“Prestasi mereka bagus dan kami memerlukan minggu yang bagus, berlatih dengan baik dan bersedia untuk mengharungi perlawanan yang sukar. Harapnya kami boleh meneruskan momentum untuk menang perlawanan itu.”

United yang menjalani kem latihan di Dubai ketika ini ketinggalan enam mata di belakang pasukan tangga keempat liga, Chelsea selepas meraih kemenangan berturut-turut ke atas Cardiff, Huddersfield, Bournemouth dan Newcastle.

Mara ke saingan Liga Juara-Juara jelas menjadi sasaran utama kelab itu tetapi Jones tidak mahu terlalu memandang jauh ke depan.

“Sudah tentu kami sepatutnya berada di Liga Juara-Juara musim depan dan itulah sasarannya tetapi kami masih belum melakukan apa-apa. Saya tahu ia biasa didengari tetapi kami perlu mengharungi satu demi satu perlawanan.

“Saya benar-benar tidak mahu memikirkan mengenai kedudukan empat terbaik, atau Liga Juara-Juara atau Piala FA. Ia perlu dilalui satu demi satu. Tottenham kuat dan sasarannya adalah untuk melihat di mana kami berada selepas perlawanan itu.”

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 10:08pm
d