arena

Sevilla tingkat usaha pikat Morata

Oleh Agensi

MADRID: Sevilla terus meningkatkan usaha untuk mendapatkan pemain antarabangsa Sepanyol, Alvaro Morato dari Chelsea, pada musim perpindahan Januari ini.

Ejen pemain itu, Juanma Lopez dilaporkan berada di Sevilla semalam, dan mengadakan perbincangan bersama pengarah bola sepak kelab, Joaquin Caparros.

Kelab Sepanyol itu percaya Morata mahu perpindahan berkenaan menjadi kenyataan dan jurulatih Sevilla, Pablo Machin juga mahu membawa masuk pemain itu selepas meminjamkan penyerang, Luis Muriel ke Fiorentina awal tahun ini.

Penyerang Sepanyol itu berdepan krisis keyakinan musim ini apabila hanya menjaringkan tujuh gol daripada 23 penampilan.

Aksi kurang konsisten Morata mencetuskan kritikan dan legenda Chelsea,  Gianfranco Zola yang menjaringkan 70 gol untuk kelab itu ketika sebagai pemain berkata, dia perlu menangani tekanan dengan baik.

Ditanya sama ada dia bersimpati dengan Morata, Zola berkata: “Ia sepatutnya menjadi motivasi tambahan kepadanya. Anda berada di Chelsea dan bukannya beraksi bersama Southampton atau Brighton.

“Peminat meletakkan harapan tinggi kepada pemain Chelsea yang memakai jersi bernombor 9. Ini adalah sesuatu yang normal dan Alvaro perlu membiasakan dirinya.

“Jika dia berhijrah ke satu lagi kelab gergasi, situasi tetap sama. Tiada jalan untuk anda lari daripada tanggungjawab sebenar.

“Ia sebahagian daripada tugas. Lebih baik anda menangani situasi, ia akan menjadikan anda seorang yang lebih bagus.

“Saya faham dia berasakan dirinya tidak menyumbang gol yang banyak kepada pasukan dan berasa bertanggungjawab dengan situasi itu.

“Dia perlu melupakan segala-galanya kerana beban sebenar adalah apabila anda beraksi di atas padang dan tiada siapa yang akan membantu anda untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Morata difahamkan mahu kembali ke La Liga, tetapi bukan mudah untuknya menjadi pilihan utama di Sevilla.  

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 2:04pm
d