arena

Misi tiga piala

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pengendali baharu Pasukan Hoki Terengganu (THT), I Vikneswaran menegaskan beliau tidak tertekan mengemudi skuad 'gergasi' hoki tanah air itu biarpun diberi harapan besar untuk menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Piala TNB musim ini.

Malah, bekas pemain kebangsaan itu berkata, kehadiran enam pemain import dan enam pemain kebangsaan serta pemain berpengalaman dan muda dalam skuad THT bakal menjadi 'aset’ bernilai buatnya untuk memacu kejayaan pasukan itu.

“Jurulatih THT sebelum ini, Sarjit Singh meninggalkan satu legasi yang baik dengan membawa kejayaan kepada skuad ini, kini tiba giliran saya selepas diberi peluang mengendalikan pasukan itu.

“Ini adalah cabaran tetapi saya harus mengambil cabaran ini secara positif dan kami tidak tertekan dengan situasi ini,” kata Vikneswaran ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja dan Pemain THT dan TLHT(Pasukan Hoki Wanita Terengganu) 2019 di sebuah hotel, dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu dan Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Saberi Salleh.

Wan Sukairi berkata, musim ini kerajaan negeri membelanjakan tidak kurang RM3 juta untuk pembangunan kedua-dua pasukan THT dan TLHT.

Ketika ditanya peluang THT merangkul Piala Sumbangsih buat kali pertama dalam sejarah bertemu Kelab Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang Jumaat ini, Vikneswaran mengakui skuadnya tidak gentar.

“Kami sudah membuat persediaan terbaik, cuma menunggu seorang lagi pemain import yang belum tiba selain dua pemain cedera termasuk seorang patah jari iaitu Firdaus Oma,” katanya.

Selain pakar pukulan sudut penalti terbaik Korea Selatan, Jan Jong Hyun, THT turut merantai pemain import musim lalu, Ahmad Shakeel But dari Pakistan dan Pablo Travisan dari Argentina selain tiga muka baharu iaitu kapten Korea Selatan, Jun Man Jie, Gonzalo Merino (Argentina) serta Daniel Kyriakides dari Wales.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 4:51pm
d