arena

Everton sasar juara Liga Perdana

Oleh AFP

LONDON: Ketua eksekutif Everton, Denise Barrett-Baxendale menetapkan sasaran buat Toffees menjuarai Liga Perdana Inggeris serta beraksi pada Liga Juara-Juara di stadium baru mereka dalam tempoh sedekad akan datang.

Kelab dari Liverpool itu tidak pernah memenangi trofi Liga Perdana dengan kali terakhir mereka dinobat selaku juara pada musim 1986-87 ketika memenangi saingan Divisyen Satu di Goodison Park.

Peminat Everton juga jarang menyaksikan pasukan mereka beraksi di Liga Juara-Juara dengan kelab itu ketika ini sekadar menduduki tangga ke-11 liga dan ketinggalan 17 mata di belakang empat pasukan terbaik yang memperoleh tiket ke saingan berprestij Eropah itu.

Bagaimanapun Barret-Baxendale yang baru saja memecat pengurus, Sam Allardyce dan pengarah bola sepak, Steve Walsh percaya Everton perlu meletakkan sasaran tinggi apabila berpindah ke stadium baru di Bramley-Moore yang menelan kos £500 juta (RM2.3 bilion).

Bercakap pada mesyuarat pemegang saham di Liverpool, beliau berkata, Everton perlu menjadi pasukan pencabar di Liga Perdana dan beraksi di Liga Juara-Juara.

“Kami perlu bersaing memenangi gelaran domestik dan trofi. Bukan saja untuk memenangi piala tapi memenangi kejuaraan Liga Perdana.

“Ini bermakna kerap beraksi di Liga Juara-Juara dengan bermain di stadium baru,” katanya.

Barrett-Baxendale berkata: “Ini cabaran besar. Ia sasaran jangka panjang untuk kelab tapi amat penting untuk kami mempamer aksi terbaik dalam usaha memenuhi impian itu.

“Kami perlu fokus dan bersemangat untuk berdepan cabaran ini.”

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 10:10am
d