arena

FAM enggan jangkaui KFA

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Ketika sepak mula Liga Malaysia (Liga M)  tidak sampai sebulan lagi, status pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid terus menjadi tanda tanya.

Ini kerana pemain berusia 19 tahun itu memerlukan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) daripada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi membolehkan dia beraksi bersama skuad Harimau Selatan.

Berdasarkan reaksi daripada KFA yang berterusan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap perpindahan pemain kebangsaan itu, kemungkinan besar Akhyar berdepan kesulitan untuk mendapatkan SPN daripada bekas pasukannya itu.

Bagaimanapun, harus diingat meskipun KFA berdegil untuk 'merestui' penghijrahan Akhyar tetapi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap memiliki kuasa untuk mengeluarkan SPN sementara kepada Akhyar bagi saingan musim depan.

Namun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan badan induk itu perlu menunggu maklum balas daripada KFA membabitkan pengeluaran SPN sebelum boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun mengambil tindakan selanjutnya.

"Memang FAM ada peruntukan untuk mengeluarkan SPN mengikut proses yang tertentu namun kami tidak mahu melangkaui kuasa KFA membabitkan isu ini.

"Kita tidak mahu mencetuskan masalah, jadi pendekatan FAM buat masa ini adalah tidak mengeluarkan apa-apa komen sebelum terjadinya sesuatu perkara itu supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Mengulas lanjut mengenai kemelut yang melanda badan induk terbabit bersama ahli gabungannya itu, Stuart menjelaskan mereka akan mengadakan perbincangan dengan KFA dalam masa terdekat untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku.

"Kita sudah menulis surat kepada KFA untuk memilih tarikh perjumpaan dan ia dijangka dilangsungkan dalam masa terdekat. Ia bukanlah rundingan tetapi lebih kepada perjumpaan secara dalaman.

"Kita boleh memiliki pendapat masing-masing kerana FAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang menghalang KFA untuk mengambil apa apa tindakan yang selanjutnya," katanya.

 

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 5:49pm
d