arena

Trio pecut raih gangsa hari pertama

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Trio pecut negara diketuai Azizulhasni Awang memastikan kedudukan podium pada hari pertama Kejohanan Trek Asia di Velodrom Antarabangsa Jakarta, sebentar tadi.

Gandingan Azizulhasni bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut berpasukan mempamerkan kayuan cemerlang apabila mencatat 44.673s untuk meraih gangsa.

Mereka mengetepikan lawan dari Kazakhstan diketuai Pavel Vorzhev, Maxim Nalyotov dan Sergey Ponomaryov  yang melakukan 45.472s dalam penentuan tempat ketiga.

Malah trio negara wajar diberikan pujian walaupun difahamkan Fadhil tidak berada pada tahap terbaik apabila mengalami demam sebelum turun beraksi pada hari pertama kejohanan.

Jepun yang mencatat 44.111s meraih emas dalam aksi final selepas menewaskan China yang mencatat 44.170s.

Pada aksi kelayakan yang berlangsung pada sebelah pagi, trio negara berkenaan melakar masa ketiga terpantas dengan catatan 44.850s.

Terdahulu harapan emas yang disandarkan kepada Ahmad Safwan Ahmad Nazeri, Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir dan Muhammad Ridwan Sahrom bagi Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung serentak, tidak kesampaian apabila kecundang kepada India di final pecut berpasukan.

Trio negara terpaksa berpuas hati dengan perak apabila melakukan 46.654s, gagal mengatasi kepantasan India yang mencatat rekod baru Asia dengan masa 45.432s.

Sementara itu, Jupha Somnet juga gagal mempertahankan emas dalam acara perlumbaan mata apabila sekadar mengumpul dua mata.

Ia sesuatu yang sudah diramalkan pelumba kelahiran Perlis berkenaan selepas tidak menyertai sebarang saingan kompetitif sejak Sukan Asia Ogos tahun lalu.

Perlumbaan dimenangi atlet Uzbekistan, Olga Zabelinskaya yang mengumpul 70 mata dengan tempat kedua diraih pelumba Taiwan, Ting Ting Huang dan Ying Zhang dari China ketiga.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 9:54pm
d