arena

PSG tersungkur akhirnya...

Oleh AFP

PARIS: Rekod 43 kemenangan berturut-turut Paris Saint-Germain pada pertandingan piala domestik berakhir apabila anak buah Thomas Tuchel mengalami kekalahan mengejut 1-2 di laman sendiri kepada kelab tercorot Ligue 1, Guingamp pada suku akhir Piala Liga Perancis, awal pagi tadi.

Pelawat dihadiahkan tiga sepakan penalti di Parc des Princes pada babak kedua yang penuh dramatik ketika PSG gagal dalam usaha mereka untuk merangkul kejuaraan Piala Liga kali keenam berturut-turut.

Ia hanya kekalahan kedua dalam semua pertandingan musim ini buat kelab gergasi itu, selepas tewas 2-3 kepada Liverpool di Anfield pada aksi Liga Juara-Juara, September lalu.

Guingamp, yang hanya menang dua aksi liga sepanjang musim, menyertai AS Monaco, Strasbourg dan Bordeaux ke separuh akhir.

“Kami hadir ke sini untuk menang dan kami sedar ia amat sukar di sini,” kata Marcus Thuram, anak lelaki pemenang Piala Dunia 1998, Lilian Thuram, yang menjaringkan gol kemenangan.

“Kami tahu dalam pertandingan piala apa saja boleh berlaku... kami tahu bagaimana untuk menyekat PSG.”

Neymar memecah kebuntuan pada minit ke-63 namun Guingamp bangkit menyamakan kedudukan menerusi penalti Yeni Ngbakoto pada minit ke-81 sebelum Thuram meledak penalti pada minit ketiga masa kecederaan.

“Kami bermain terlalu yakin, kami tidak terlalu bersungguh-sungguh untuk menamatkan perlawanan,” akui jurulatih PSG, Tuchel.

“Terlalu sukar kalah dengan tiga sepakan penalti. Saya marah dengan yang kedua, saya boleh melihat VAR 100 kali, ia jelas bukan penalti.”

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 8:03am
d