arena

Radulovic berang dengan pengadil

Oleh AFP

AL-AIN, Emiriah Arab Bersatu: Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic menegaskan pasukannya bermain “menentang 12 atau 13” apabila beliau mengecam pengadil selepas tewas di tangan Qatar pada aksi Piala Asia, awal pagi tadi.

Radulovic berkata, pengadil dari China, Ma Ning menjejaskan peluang Lubnan selepas membatalkan gol babak pertama yang sepatutnya membantu mereka mendahului 1-0 menentang tuan rumah Piala Dunia 2022.

Qatar akhirnya menang aksi Kumpulan E itu selepas gol babak kedua menerusi Bassam Al-Rawi dan Almoez Ali, menyebabkan Lubnan masih menanti kemenangan sulung dalam Piala Asia.

“Sukar untuk bercakap selepas perlawanan sebegini kerana saya mengajar pasukan saya beraksi 11 pemain menentang 11, tapi ini 11 menentang 12 atau 13, bermakna pengadil,” jelas pengendali dari Montenegro itu.

“Apabila anda bermain... sempurna, disiplin secara taktikal, anda menjaringkan gol 1-0 dan mereka mencuri gol kami, amat sukar untuk meneruskan selepas itu,” katanya.

Sepakan voli Ali Hamam pada minit ke-39 tidak disahkan kerana insiden menolak oleh pertahanan Lubnan, George Felix Melki, keputusan yang menyebabkan kemarahan Radulovic di tepi padang.

Radulovic mendakwa tahap pengadilan “tidak 50-50“, menyatakan Qatar melakukan “lebih daripada 20 kekasaran” namun tidak menerima sebarang kad kuning.

“Apabila mereka membatalkan gol itu, pemain saya hilang tumpuan, mereka hilang keyakinan, mereka nampak apa yang berlaku dan amat sukar untuk meneruskan aksi pada perlawanan sebegitu,” katanya.

“Mereka menyentap moral dan keyakinan kami.”

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 11:15am
d