arena

Solskjaer berdepan ujian sebenar

Oleh Reuters

MANCHESTER, England: Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berdepan ujian terbesarnya sejak mengambil alih daripada Jose Mourinho apabila pasukannya menentang pengendali yang dipercayai akan menggantikannya - pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino.

Spurs, ketiga dalam carta Liga Perdana Inggeris, menanti kunjungan pasukan tangga keenam United, yang ketinggalan di belakang mereka dengan 10 mata, di Wembley Ahad ini dalam apa yang dilihat sebagai ujian paling sukar buat Solskjaer untuk mempersiapkan pasukannya.

Sejak Mourinho dipecat pada 18 Disember lalu, Solskjaer, yang bertugas hingga hujung musim ini, mengemudi empat kemenangan berturut-turut United dalam liga selain menyingkirkan Reading pada pusingan ketiga Piala FA.

Jadual perlawanan agak tidak membebankan pengendali dari Norway itu dengan United bertandang ke kelab bawahan Cardiff City dan Newcastle United selain menerima kunjungan Huddersfield Town dan Bournemouth.

“Spurs di gelanggang lawan, Wembley, ujian yang menarik,” kata Solskjaer minggu ini.

“Kami tidak sabar menantinya. Ia memberikan saya lebih rujukan di mana kedudukan kami menentang pasukan besar.”

Sebaik Mourinho dipecat, spekulasi media mula memberi fokus terhadap Pochettino sebagai pilihan untuk menjadi pengurus tetap di Old Trafford hujung musim ini.

Ketika United tidak membuat kenyataan umum mengenai minat terhadap pengendali dari Argentina itu, yang enggan memberi komen apa yang dianggapnya sebagai “khabar angin”, pengurus berusia 46 tahun itu tetap dikatakan sebagai sasaran utama mereka.

Solskjaer tidak dapat menyembunyikan hasratnya untuk mengendalikan kelab itu secara tetap namun ia mungkin boleh mengukuhkan kesnya jika beliau mampu mengemudi kemenangan United di laman sendiri Pochettino.

Spurs mengalahkan United kendalian Mourinho 3-0 di Old Trafford, Ogos lalu dan kelab London itu menang tiga aksi terakhir di laman sendiri menentang United.

Pendahulu Liga Perdana, Liverpool bertandang ke Brighton Sabtu ini dengan harapan bangkit daripada kekalahan di tangan pasukan tangga kedua Manchester City yang mengurangkan kelebihan anak buah Juergen Klopp di puncak carta kepada empat mata.

City di laman sendiri berdepan Wolves Isnin ini selepas minggu yang sibuk dengan pertandingan piala buat anak buah Pep Guardiola manakala pasukan tangga keempat Chelsea menanti kehadiran Newcastle United ke Stamford Bridge, Sabtu ini.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 12:35pm
d