arena

THT tak rela putih mata lagi

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah menjuarai Piala Sumbangsih buat kali pertama apabila bertemu UniKL di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) petang esok.

Kehadiran semula 'mesin' pencetak gol dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun yang juga pakar pukulan sudut penalti terbaik negaranya serta kapten pasukannya, Jun Man Jie membuktikan skuad kendalian I Vikneswaran itu tekad mahu menamatkan badi memburu piala berkenaan.

Sejak beraksi dalam saingan Piala Sumbangsih bermula tahun 2014, skuad THT gagal merangkul piala itu termasuk musim lalu apabila tewas 4-5 kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedudukan terikat 2-2. 

"Kami tidak rela berputih mata lagi kali ini selepas lima kali mencuba untuk merangkul piala itu lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri yang sudah pasti memberi kelebihan kepada kami," kata pemain berpengalaman THT, Shahrun Nabil Abdullah, 34.

"Kami harap badi meraih piala itu akan ternoktah pada petang esok (Jumaat) kerana piala itu satu-satunya piala yang masih belum dimiliki pasukan THT.”

Rakan sepasukannya yang juga penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari, 28, menuntut rakan sepasukannya bangkit daripada kekalahan mengejut 2-1 kepada pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi merebut Piala Tan Sri P Alagendra Ahad lalu.

“Kekalahan itu seharusnya memberi motivasi yang berguna kepada kami untuk bangkit memburu piala pertama musim ini ditambah pula semua pemain import dapat beraksi selain ketajaman pemain tempatan,” kata Faizal.

Perlawanan merebut Piala Sumbangsih itu dijangka menarik kerana kedua-dua pasukan menampilkan pemain terbaik dunia menerusi Ahmad Shakeel But dari Pakistan, Pablo Travisan dan Gonzalo Merino (dari Argentina) serta Daniel Kyriakides (Wales) yang akan menyarung jersi THT.

Manakala bintang antarabangsa Belanda, Robbert Kemperman dan dua rakan senegaranya, Valentine Verga dan Martijn Havenga, serta penjaga gol Ireland David Harte, Kieran Govers dan Tim Deavin (dari Australia) bakal menggegar pasukan UniKL petang esok.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 3:26pm
d