arena

Faisal tak gentar pemain senior

Oleh Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Walaupun dibayangi kelibat pemain senior dan kebangsaan, Faisal Halim tetap tidak sesekali mengalah atau merendah diri untuk merebut tempat selaku pilihan utama membantu penggempur skuad Pahang.

Pastinya dia terpaksa bersaing dengan Mohamadou Sumareh, Wan Zaharulnizam, Azam Azih dan pemain lain di bahagian tengah, untuk membentuk gandingan serasi dengan penyerang diketuai Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo.

Bagi pemain kelahiran Pulau Pinang itu, dia ingin membuktikan tenaganya memang diperlukan Tok Gajah dalam kesebelasan utama dan bukannya selaku pilihan kedua.

"Saya akan berusaha sedaya upaya menarik perhatian jurulatih, Dollah Salleh dalam usaha membantu pasukan merangkul lebih banyak kejuaraan musim ini.

"Selain menambah keupayaan di bahagian serangan, saya mahu membentuk persefahaman lebih mantap dengan rakan sepasukan bagi memastikan misi memburu gol pada setiap perlawanan menjadi kenyataan," katanya, di sini. 

Katanya, persiapan skuad Tok Gajah yang kini semakin rancak membuatkan pemian cukup yakin untuk muncul selaku pencabar utama di saingan Liga Super musim ini.

Faisal yang lebih terkenal dengan gelaran Mickey berkata, dia mahu membalas kepercayaan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang terus mengekalkannya hingga musim 2020. 

“Selepas mendakap Piala FA musim lalu, impian saya seterusnya ialah untuk memiliki trofi Liga Super dan Piala Malaysia. Peluang ini mungkin dapat  diterjemahkan musim ini,” katanya.

Pada masa sama, Faisal juga mengakui dia sentiasa berhati-hati dan berharap tidak ditimpa kecederaan serius sepanjang kempen pra musim dan menjelang saingan Liga Super bermula Februari ini.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 6:03pm
d