arena

Hollywood-Provezza terus garang

Oleh Sukhairi Thani

LANGKAWI: Pendahulu kelas Racing Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019, Hollywood-Provezza semakin menunjukkan belang apabila meraih kemenangan keenam berturut-turut pada hari ketiga kejuaraan, hari ini.

Beraksi di lapangan 'Around the Island', pasukan dikemudi Ray Roberts itu dilihat sukar untuk ditewaskan apabila terus mengungguli Perlumbaan 6 sekali gus menyaksikan penyandang juara dari Thailand, THA72 'buntu' mencari kemenangan pertama mereka.

THA72 yang dikemudi Kevin Whitcraft menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 3 jam 24 minit dan 28 saat manakala Hollywood-Provezza memenangi saingan dengan masa 03:19.15s.

Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Uranus menunjukkan pelayaran positif apabila sekali lagi menamatkan saingan di tangga ketiga sekali gus melonjakkan mereka ke tangga keempat keseluruhan daripada lima pasukan bertanding.

Satu lagi bot yang mewakili ATM, Zuhal menamatkan saingan di tangga kelima manakala SCS Janda Baik dikendali Mohd Khairul Shahril Zakaria berada di tangga keempat.

"THA menjadi pencabar utama kami dan sudah tentunya bot daripada ATM," kata Roberts yang sebelum ini pernah mengemudi pasukan Evolution Racing, Quantum Racing dan Ulumulu Quantum Racing meraih gelaran juara di RLIR.

"Mereka (ATM) sangat konsisten dan dibarisi pelayar yang bagus. Namun mereka mungkin memerlukan beberapa peralatan baharu dan juga sedikit tuah."

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 6:07pm
d