arena

'Kuda tua' senjata Singa Utara

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Ketika pasukan lain sibuk mencari atau melindungi pemain muda berkualiti dengan menetapkan klausa pelepasan mencecah hingga RM12 juta, mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai percaturan berbeza dilakukan pendatang baharu Liga Perdana, Perlis.

Perlis yang dinaikkan pangkat selepas jatuh ke saingan Piala FAM musim lalu dilihat mengikat ramai pemain berusia atau 'kuda tua' sebagai 'senjata' mereka untuk mengharungi Liga Perdana musim ini.

Antara pemain berusia yang sudah ditandatangani skuad Singa Utara itu termasuk bekas kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi, Safee Sali, Azmi Muslim, Khyril Muhymeen, Azmizi Azmi dan Amirizdwan Taj dengan semua pemain itu berusia 30 tahun ke atas.

Mohd Badhri bagaimanapun menegaskan faktor usia bukan halangan buat pemain untuk tidak mempamerkan persembahan cemerlang dan membantu pasukan mencipta kejayaan.

Dia yang lebih dikenali sebagai Piya juga menyifatkan pemain yang berstatus kuda tua masih relevan untuk berada dalam mana-mana pasukan.

"Tidak kisahlah kuda tua atau kuda lama kerana dalam satu pasukan sekurang-kurangnya perlu ada empat atau lima pemain berpengalaman untuk digandingkan bersama pemain muda yang berkualiti.

"Bukan kata semua 11 pemain dalam padang itu kuda tua, maknanya kena campur dengan pemain muda dan import. Jangan pandang kuda tua tiada tenaga, kalau pemain muda tapi main tak cerdik tiada guna juga.

"Sekarang ini kami dalam pasukan Perlis tiada masalah, cuma perlu mencari keserasian. Tapi ia boleh diselesaikan kerana pengurusan sudah mengatur banyak aksi pramusim," kata pemain berusia 36 tahun itu.

Selain mengikat pemain berusia, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dalam kenyataan sebelum ini juga menjelaskan mereka akan memilih pemain import yang sudah ada pengalaman beraksi di Liga M.

Selain itu, Piya berharap PFA dapat mengikat pemain import yang mampu membentuk kombinasi terbaik bersama pemain tempatan dalam mencapai sasaran yang ditetapkan pengurusan.

"Sekarang kami nak import yang berkualiti, kami nak bergantung kepada mereka bukan mereka bergantung kepada kami. Apa yang positif semua pemain mengikut segala arahan jurulatih (Manzoor Azwira Abd Wahid).

"Jurulatih juga memainkan peranan dengan baik dan secara peribadi saya rasa tidak mustahil untuk kami mencapai sasaran presiden untuk muncul juara atau sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima terbaik Liga Perdana," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 6:12pm
d