arena

'Saya tak mahu 'turun pangkat' lagi...'

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pemain baharu Terengganu FC (TFC) yang dinaikkan 'pangkat' daripada Terengganu FC II (TFC II), Mohammad Haidhir Suhaini tidak mahu mensia-siakan peluang kedua dipilih menyarung jersi skuad Penyu.

Pada masa sama, pemain kelahiran Kemaman berusia 23 tahun itu yang kerap beraksi di posisi sayap kiri juga tidak mahu dilabel pemain pelengkap pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

"Saya pernah dinaikkan pangkat beraksi dalam skuad TFC pertengahan musim lalu, menggantikan pemain yang cedera, tetapi tidak lama sebelum kembali menyarung jersi TFC II.

"Selepas membantu TFC II menjuarai Piala Cabaran musim lalu, ini peluang kedua saya untuk membuktikan kemampuan musim ini,' kata Haidhir kepada Sukan NSTP.

Selain Haidhir, dua lagi pemain TFC II yang dinaikkan pangkat ialah Muhammad Mohd Fauzi dan Mohd Sharin Sapien, serta penjaga gol skuad Piala Presiden Terengganu musim lalu, Shafawi Mohamad.

Tahun lalu, pemain yang menjadikan bintang Brazil, Neymar sebagai idolanya meledak tiga gol ketika menyarung jersi TFC II.

"Bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama kerana skuad ini mempunyai ramai pemain berpengalaman dan pemain import berkualiti,” Haidhir.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 7:15pm
d