arena

'RM1.6j bukan nilai tebus Syazwan'

Oleh Nazri Abu Bakar

 

MELAKA: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menganggap tuntutan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bernilai RM1.6 juta tidak terpakai bagi pelepasan Syazwan Andik bagi menyertai mana-mana pasukan.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pelepasan Syazwan tidak tertakluk dengan tuntutan terbabit berikutan pemain kebangsaan itu bebas dari ikatan pasukan berkenaan.

"Ia berikutan isu pembayaran gaji masih belum dijelaskan kepada Syazwan menyebabkan dia boleh membuat pilihan pasukan baharunya.

"KL tidak layak menerima  pampasan berkenaan berdasarkan terma dan syarat kontrak yang menyebabkan Syazwan gugur daripada bersama skuad itu, jika dia mahu berbuat demikian," katanya.

Penjelasan Yusoff memperlihatkan isu penghijrahan Syazwan ke Melaka tampak semakin menjadi kenyataan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa ketika dihubungi Sukan NSTP juga menjelaskan tidak mengetahui pasukan mana akan disertai Syazwan.  

KLFA sebelum ini menetapkan nilai pampasan RM1.6 juta buat mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Syazwan ketika pemain itu sudah membuat permohonan rasmi meninggalkan skuad The City Boys.

MU juga dikatakan sedia menawarkan tempat kepada  Syazwan Andik bagi mewakili skuad terbabit musim ini.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 11:24pm
d