arena

Penalti Coutinho mampu selamatkan Barca

Oleh AFP

MADRID: Philippe Coutinho menjaringkan gol penting di tempat lawan tetapi Barcelona perlu berusaha memastikan tidak tersingkir daripada Piala Raja Sepanyol selepas kalah 1-2 di tangan Levante pada aksi pertama pusingan 16 terakhir, awal pagi tadi.

Lionel Messi, Luis Suarez dan Marc Andre ter Stegen antara tonggak utama yang direhatkan di Stadium City of Valencia, yang mana Levante mendahului menerusi jaringan Erick Cabaco dan Borja Mayoral.

Coutinho, yang diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam tempoh hampir sebulan, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85 untuk memberi bekalan gol di tempat lawan buat Barcelona menjelang aksi timbal balik di Nou Camp minggu depan.

Sesudah terlepas beberapa perlawanan sepanjang November kerana kecederaan, Coutinho bergelut mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan kendalian Ernesto Valverde, tetapi beraksi 90 minit dengan satu gol, bakal memberi kelebihan buatnya.

Valverde dipersalahkan musim lalu selepas Barca tersingkir daripada Liga Juara-Juara, antara puncanya kegagalan beliau merehatkan pemain tonggak ketika saingan Piala Raja Sepanyol dan La Liga, yang kedua-duanya dimenangi kelab itu.

Namun percubaan pengendali itu merehatkan beberapa tonggak utama memakan diri apabila Levante mendahului selepas hanya 185 saat, hasil hantaran Ruben Rochina yang ditanduk masuk Cabaco.

Barca tampak bergelut dalam menangani asakan Levante dan pada minit ke-18, Mayoral meledak gol kedua tuan rumah selepas mendapat hantaran Emmanuel Boateng.

Denis Suarez yang masuk ketika permainan berbaki 23 minit, meloloskan diri ke dalam kotak penalti Levante sebelum dikasari Coke dan Coutinho memastikan sepakan penalti itu dimanfaatkan sebaiknya.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 7:49am
d