arena

UAE hampiri kalah mati

Oleh AFP

ABU DHABI: Tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) semakin menghampiri pusingan 16 terakhir Piala Asia awal pagi tadi ketika jurulatih Bernd Stange muncul pengurus kedua dipecat dalam tempoh enam hari pertandingan selepas Syria tumpas kepada Jordan.

UAE terselamat daripada permulaan sukar sebelum menundukkan India 2-0 namun ia malam menyedihkan buat Stange, 70, yang menyaksikan Syria kalah 0-2 dan kemudian dipecat tidak lama kemudian.

“Persekutuan Bolasepak Syria memutuskan untuk memecat jurulatih Bernd Stange,” menurut satu kenyataan dalam laman Facebook persatuan itu, menambah bekas jurulatih kebangsaan Fajr Ibrahim akan mengambil alih tugas bagi aksi terakhir Kumpulan B menentang Australia.

Stange mengikut jejak langkah jurulatih Thailand, Milovan Rajevac selepas pengendali dari Serbia itu dipecat susulan kekalahan 1-4 pasukan Gajah Perang kepada India. Mereka bagaimanapun bangkit dengan menundukkan Bahrain 1-0 malam tadi.

Namun kemenangan Jordan menjadikan mereka pasukan pertama menempah tiket ke peringkat kalah mati, susulan kejayaan mengejutkan juara bertahan Australia pada aksi pertama.

Di Abu Dhabi, Khalfan Mubarak dan Ali Makhbout meledak gol buat pasukan Emiriah, yang bernasib baik seri 1-1 dengan Bahrain pada aksi pembukaan selepas mendapat sepakan penalti kontroversi pada lewat aksi, Sabtu lalu.

“Keputusan menentang Bahrain mengecewakan dan saya dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada penyokong,” kata jurulatih UAE, Alberto Zaccheroni, yang mengemudi kejayaan Jepun menjuarai Piala Asia 2011.

“Tapi pemain mempamerkan semangat kental dan keinginan kuat untuk menang malam ini dan kami berhak menang. Amat penting untuk terus meningkat sepanjang kejohanan.”

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 8:11am
d