arena

Isteriku, ejenku: Icardi

MILAN: Kapten Inter Milan, Mauro Icardi menegaskan semalam dia mahu isterinya Wanda Nara terus bekerja sebagai ejennya hingga kariernya berakhir.

Komen Icardi hadir selepas akhbar sukan Gazzetta dello Sport melaporkan Inter mahu berunding dengan ejen lain ketika kedua-dua pihak mahu membincangkan mengenai kemungkinan menyambung kontraknya.

Inter tidak memberikan komen mengenai laporan rundingan itu.

“Wanda akan sentiasa menjaga kepentingan saya hingga berakhirnya karier saya,” kata pemain Argentina, Icardi dalam Instagram.

Pemain berusia 25 tahun itu, kontraknya masih berbaki dua setengah tahun, menjadi penjaring gol terbanyak Inter dalam Serie A sejak empat musim terakhir apabila meledak 22, 16, 24 dan 29 gol.

Namun dia sering tampil dalam kolum gosip berbanding halaman sukan susulan perkahwinannya dengan Wanda, personaliti media Argentina yang sebelum ini berkahwin dengan bekas rakan sepasukan Icardi di Sampdoria, Maxi Lopez. - Reuters

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 10:10am
d