arena

Mourinho tak nak balik kampung

Oleh Reuters

LISBON: Bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho menolak kemungkinan beliau mengisi kekosongan jawatan di Benfica, menyatakan beliau tidak berhasrat melatih di negara kelahirannya Portugal buat masa ini.

Mourinho dipecat United bulan lalu selepas dua setengah tahun mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

“Saya tidak menerima sebarang tawaran dan jika ada pun, sudah tentu presiden Benfica dan kelab itu sendiri menjadi yang pertama tahu mengenai keputusan saya,” katanya kepada laman web akhbar Correo da Manha.

“(Tapi) saya fikir saya boleh menyatakannya hari ini, saya tidak berhasrat untuk kembali bekerja di Portugal,” katanya. “Saya baik-baik saja ketika ini. Hari ini, saya bukannya pilihan buat Benfica, tidak lebih daripada itu.”

Jurulatih Benfica, Rui Vitoria meninggalkan kelab itu secara persetujuan bersama minggu lalu.

Mourinho berkata, beliau tidak mahu bercakap mengenai pemecatannya oleh United.

“Saya sudah belajar mengenainya, apabila anda meninggalkan satu kelab, anda tidak akan bercakap mengenainya, anda tidak perlu membasuh pakaian busuk di kedai dobi. Babak itu sudah berakhir dan anda tidak perlu menghebohkannya,” katanya.

“Satu lagi perkara yang saya belajar adalah untuk menghormati kelab yang mahukan saya dan yang tidak mahukan saya.”

Mourinho memulakan karier kejurulatihan pada 2000 di Benfica namun hanya mengendalikan sembilan perlawanan sebelum bertugas di FC Porto, Chelsea, Real Madrid dan Inter Milan.

Sementara itu, Mourinho dilaporkan meraih tugas pertama sejak dipecat apabila menyertai BeIN Sports sebagai pengulas, umum syarikat penyiar itu semalam.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 10:35am
d