arena

FELDA United bayar tunggakan gaji September

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Pemain dan pegawai pasukan FELDA United boleh menarik nafas lega selepas pengurusan The Fighters akhirnya mengotakan janji untuk melunaskan tunggakan gaji mereka.

Meskipun hanya dapat membayar tunggakan gaji sebulan buat masa ini berbanding tiga bulan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu pemain dan pegawai meneruskan kehidupan.

Presiden FELDA United, Anuar Malek mengesahkan gaji bagi bulan September sudah dibayar kepada semua pemain dan pegawai, kelmarin.

"Pihak kami tidak pernah berdiam diri dalam isu tunggakan gaji ini, sebaliknya sudah mengambil langkah bagi menyelesaikannya.

"Akhirnya kita berjaya mendapatkan dana untuk membayar gaji bulan September dahulu dan baki dua bulan lagi untuk bulan Oktober dan November akan menyusul kemudian," katanya dalam satu kenyataan  media hari ini.

Jelas Anuar, bayaran tunggakan sebulan gaji itu menunjukkan komitmen pihak pengurusan dalam usaha menjaga kebajikan pemain dan pegawai.

"Ini kali pertama dalam sejarah pembayaran lewat gaji pemain sejak penubuhan FELDA United. Masalah yang berpunca daripada kekangan kewangan ini berlaku tanpa diduga.

"Bagi menyelesaikan masalah ini, kita sudah mendapatkan pandangan banyak pihak termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)," katanya.

Dalam masa sama, Anuar yang mengambil alih tugas sebagai presiden bagi menggantikan Datuk Ab Ghani Mohd Ali pada 4 Januari lalu akan terus memperjuangkan hak pemain dan pegawai.

"Kita sudah membuat perancangan agar masalah kewangan tidak berlaku lagi pada masa depan. Jadi, kami mengharapkan isu kewangan ini tidak akan mengganggu fokus pemain serta pegawai bagi menghadapi musim 2019.

"Setiap masalah yang berlaku akan diselesaikan dengan cara yang terbaik," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 4:19pm
d