arena

Tok Gajah 'bangun pijak' Chonburi

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Pahang meraih kemenangan pertama dalam dua aksi pramusim apabila membenam kelab Thailand, Chonburi FC 2-1, pada perlawanan kedua di Stadium Chonburi, Bangkok, semalam. 

Kemenangan skuad kendalian Dollah Salleh itu diraih selepas tewas 1-3 kepada kelab Divisyen 1 Kemboja, Visakha FC, pada aksi pertama kempen pramusim, Selasa lalu. 

Kejayaan itu bukan saja melonjakkan semangat pemain yang mula mempamerkan peningkatan, tetapi cukup penting buat pemain muda Tok Gajah, Zuhair Aizat Nazri yang diberi peluang beraksi dan berjaya meledak satu gol.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan dalam dua perlawanan berdepan Chonburi dan Visakha. 

"Biarpun diberi peluang beraksi pada babak kedua selama 20 minit, ia pengalaman berharga untuk memastikan saya bersedia, bukan sahaja daripada segi persembahan permainan, malah kekuatan mental,” katanya.

Baginya, aksi menentang pasukan utama Liga 1 Thailand itu memang sukar, namun selepas berjaya menjaringkan gol, tahap keyakinannya semakin meningkat.

Selepas mencuri perhatian Dollah, Zuhair Aizat yang berperanan sebagai arkitek pasukann mahu terus menyakinkan pengendali berpengalaman itu untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama, menjelang Liga Malaysia (Liga M) 2019. 

Esok, skuad Tok Gajah akan menamatkan siri Jelajah Thailand bertemu Army United FC yang beraksi dalam Liga 2 Thailand.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 7:28pm
d