arena

Bukan sebarang lawan

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Tiga pasukan lawan yang bakal dihadapi PKNS FC bagi aksi pramusim dilihat mampu membantu pasukan itu tampil lebih mantap menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M), bulan depan.

Pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menjelaskan pasukan yang bakal dihadapi anak buahnya itu memiliki pemain yang berkualiti dan mampu memberi saingan.

"Pemilihan untuk aksi pramusim di Johor Bahru dan Singapura adalah berdasarkan suasana dan kemudahan sedia ada.

"Justeru, kami mengharapkan gandingan terbaik dapat dijelmakan dalam siri perlawanan bersesuaian dengan taktikal dan strategi perlawanan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Sebagai rekod, skuad Semut Merah itu menjalani aksi pramusim bermula semalam hingga 17 Januari yang menyaksikan mereka akan menentang satu kelab tempatan dan dua kelab berpangkalan di Singapura.

Skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu akan berdepan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) malam ini sebelum bertolak ke Singapura bagi dua aksi di negara jiran itu.

Mereka dijadual bertemu Geylang International FC pada 13 Januari dan Young Lions pada 16 Januari dengan kedua-dua aksi akan berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Skuad Semut Merah akan membuka tirai Liga Super menentang naib juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 1 Februari ini.

 

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 8:17pm
d