arena

Presiden JOC didakwa rasuah

Oleh AFP

PARIS: Presiden Jawatankuasa Olimpik Jepun (JOC), Tsukekazu Takeda didakwa di Paris selepas dilaporkan terbabit dengan rasuah berhubung pemilihan Tokyo sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020, kata sumber daripada pihak kehakiman Perancis, hari ini.

Takeda, 71, didakwa pada 10 Disember lalu oleh penyiasat yang memburu suspek berhubung pembayaran hampir 2 juta euro (RM9.4 juta) yang dibuat sebelum ibu negara Jepun itu dipilih sebagai tuan rumah Olimpik.

Tokyo menewaskan dua lagi pencabarnya iaitu Madrid dan Istanbul pada pengundian yang diadakan pada 2013.

Takeda yang juga bekas Olimpian Jepun mengetuai kempen negara itu bagi melobi sebagai tuan rumah dan  disifatkan individu yang berpengaruh dalam Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Penyiasat Perancis mula menjalankan siasatan pada 2016 berhubung dua pembayaran yang dibuat kepada syarikat berpanglakan di Singapura, Black Tiding - firma yang dikaitkan dengan Papa Massa Diack iaitu anak kepada bekas Presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dari Senegal, Lamine Diack.

Massa Diack sendiri adalah penasihat pemasaran yang berpengaruh kepada IAAF.

Pembayaran itu dibuat secara dua peringkat iaitu sebelum dan selepas IOC memutuskan ibu negara yang menjadi tuan rumah.

Massa Diack atau dikenali sebagai PMD disyaki menerima bayaran jutaan euro atas tujuan rasuah sama ada berhubung kontrak penajaan atau bagi membolehkan Rio de Janeiro dan Tokyo menjadi tuan rumah Olimpik 2016 dan 2020.

Dia menjadi individu paling dikehendaki Polis Antarabangsa (INTERPOL) sejak Disember 2015 tetapi kerajaan Senegal enggan mengekstradisinya kepada Perancis.

Bulan lalu, Presiden IOC, Thomas Bach menulis surat rasmi kepada Senegal agar kerajaan negara itu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa Perancis bagi menjalankan siasatan.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 8:40pm
d