arena

Klopp miliki kelebihan

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menafikan andaian skuad bimbingannya memiliki kelebihan dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris susulan jadual yang kurang padat berbanding dua pencabar terdekat, Manchester City dan Tottenham Hotspur.

Skuad The Reds sudah tersingkir dalam dua saingan trofi domestik.

City ketinggalan empat mata di belakang Liverpool manakala Spurs enam mata tetapi kedua-dua kelab pencabar utama itu masih beraksi dalam empat kejohanan.

Klopp melakukan sembilan pertukaran ketika tewas 1-2 di tangan Wolverhampton Wanderers dalam aksi Piala FA dengan fokusnya adalah bagi menamatkan kemarau 29 tahun dialami The Reds bagi muncul juara liga.

Anak buahnya juga ditunjukkan jalan keluar dalam saingan Piala Liga selepas tewas di tangan Chelsea, September lalu.

"Tiada kelebihan. Jika kamu mempunyai semua pemain yang boleh bermain, ia menakjubkan kerana kamu boleh sentiasa menggunakan mereka.

"Kami harus sesuaikan dengan masa. Kamu boleh melakukan kesilapan apabila kamu menjalani latihan seminggu, ia tidak mustahil.

"Kami perlu gunakan masa sebaiknya bagi mempersiapkan pasukan dalam keadaan terbaik," kata Klopp.

Dejan Lovren menjadi salah seorang daripada dua pemain yang dikekalkan Klopp ketika bertemu Wolves selepas 1-2 di tangan City, minggu lalu.

Namun, dia mengalami kecederaan hamstring hanya selepas enam minit di Molineux.

Klopp kini berdepan krisis pemain pertahanan selepas Joe Gomez dan Joel Matip terpaksa berehat sebelum ini.

 

 

 

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 12:27am
d