arena

Shaakhmedov kena belajar bahasa Inggeris

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC) Irfan Bakti Abu Salim mendedahkan latihan skuadnya sedikit terganggu berikutan pemain import baharu, Sanjar Shaakhmedov tidak fasih berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun jurulatih berpengalaman itu percaya ia hanya bersifat sementara dan mampu diselesaikan dalam masa terdekat lebih-lebih lagi pemain dari Uzbekistan itu kini dalam proses belajar bahasa Inggeris.

“Dia (Shaakhmedov) tidak boleh berbahasa Inggeris, dia hanya boleh bercakap bahasa Rusia, buat masa ini pemain pertahanan, Igor Zonjic sebagai penterjemahnya,” kata Irfan Bakti.

“Ketika sesi latihan dia hanya panggil ‘hoi..hoi..hoi’ sajalah dengan rakan sepasukan seolah-olah bercakap umpama ayam dengan itik.

“Jadi itu sedikit sebanyak merencatkan perancangan kami, walau bagaimanapun saya minta dia bawa kamus agar dapat berkomunikasi dengan baik bersama pemain tempatan.”

Bercakap mengenai corak permainan Shaakhmedov selepas menyertai latihan skuad Penyu bermula 5 Januari lalu, tanpa berselindung Irfan Bakti memuji persembahan bekas pemain terbaik kelab Lokomotiv Tashkent (Liga Uzbekistan) itu.

“Kami puas hati permainan Shaakhmedov biarpun pemain itu ada memaklumkan belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini selain masalah bahasa.

“Saya masih beri peluang kepadanya, mungkin dalam empat perlawanan pra-musim lagi kita akan dapat kenal siapa pemain itu sebenarnya kerana dia seorang pemain yang bagus dan berkualiti,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 2:55pm
d