arena

'JDT jelmaan Harimau Malaya'

Oleh Firdaus Hashim 

SHAH ALAM: Ketika ramai beranggapan pemergian dua pemain muda negara, Akhyar Rashid dan Syazwan Andik menyertai kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai sesuatu merugikan, ia sebaliknya disangkal bekas pengendali Harimau Malaya, B Sathianathan apabila menyifatkan langkah itu baik terutamanya buat skuad kebangsaan.

Jelas Sathianathan, kejayaan JDT menghimpunkan hampir kesemua pemain skuad Harimau Malaya seharusnya diambil secara positif oleh semua pihak dan sebenarnya kaedah sama pernah digunakan oleh pasukan Selangor ketika era kegemilangannya pada 70-an dan 80-an.

"Dulu Harimau Malaya berjaya kalahkan Korea Selatan dan Jepun sebab apa, kerana masa itu ramai pemain negara datangnya dari Selangor.

"Kalau diikutkan kaedah yang digunakan JDT dengan kumpulkan semua pemain terbaik tempatan dalam satu pasukan sudah dipraktikkan Selangor dahulu. Apabila pemain-pemain ini sudah biasa bermain bersama, jadi bila ada tugasan antarabangsa skuad negara akan tampil kuat.

"Jadi saya tidak melihat apa dilakukan JDT itu satu kesilapan kerana strategi ini pernah dibuktikan Selangor dan ia amat berjaya. Cuma isunya sekarang, pemain JDT khususnya pemain tempatan jangan tenggelam dengan pemain import yang akhirnya merugikan mereka apabila sekadar memanaskan bangku simpanan.

"Pemain (tempatan) kena lawan dan rebut tempat dalam kesebelasan utama. Jika sikap pemain betul, saya rasa tak ada masalah buat JDT untuk muncul antara pencabar terkuat dalam liga (Liga Malaysia) sekali gus dapat juga menyumbang kepada skuad Harimau Malaya dengan barisan pemain yang sama di kelab berkenaan," katanya ketika ditemui pada majlis ulang tahun kelahiran kelima anak sulungnya, Dorshen Prisat Nair di sini, hari ini.

Sebelum ini, kehadiran Akhyar dan Syazwan ke kem skuad Harimau Selatan menambahkan lagi koleksi pemain skuad Harimau Malaya dengan ramai pihak bimbang prestasi bintang muda itu akan merosot apabila dijangka bakal memanaskan bangku simpanan skuad itu.

Selain kehadiran dua bintang muda itu, JDT turut diperkuatkan beberapa tonggak utama negara seperti Syamer Kutty Abba, Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin, Ahmad Hazwan Bakri, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan ramai lagi bekas pemain yang bila-bila masa boleh disenaraikan kembali oleh pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk tugasan antarabangsa selepas ini.

"Dulu masa tahun 80-an, hampir 80 peratus kekuatan Harimau Malaya adalah dari Selangor. Malah, saya yang waktu itu bermain untuk Negeri Sembilan apabila dipanggil berlatih dengan pasukan negara tidak mengambil masa agak lama untuk mencari keserasian.

"Jadi saya lihat JDT banyak membantu persiapan pasukan negara dan Cheng Hoe pastinya gembira dengan perkembangan itu," katanya.

Sementara itu, bekas pengendali Melaka United, E Elavarasan turut senada apabila menganggap strategi juara lima kali berturut-turut Liga Super itu sebenarnya menguntungkan skuad Harimau Malaya.

"Bagi saya kita ambil yang positif. Apabila JDT buat macam ini, ia secara tidak langsung membantu Cheng Hoe dalam mempersiapkan pasukan negara.

"Kita tahu tempoh kalendar perlawanan antarabangsa FIFA tak lama dalam seminggu dua saja, jadi apabila ramai pemain di JDT, jurulatih kebangsaan tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk mencari keserasian pemain sebaliknya boleh terus sediakan pemain dengan taktikal dan strategi permainan," kata Elavarasan yang kini sedang sibuk menyiapkan Lesen Pro-A di Indonesia dan dijangka tamat pada Mei ini.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 8:33pm
d