arena

'Kejap ada, kejap tak ada'

Oleh Firdaus Hashim

SHAH ALAM: FELDA United (FU) diingatkan supaya tidak mengikut 'iklan biskut' yang menggunakan dialog sinis 'kejap ada, kejap tak ada' dalam menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemain dan jurulatih skuad FU musim lalu.

Bekas pengendali pasukan B Sathianathan berkata, beliau amat berterima kasih kepada tampuk kepimpinan FU apabila tampil membayar tunggakan sebulan dengan baki dua bulan lagi akan dilangsaikan kemudian.

"Ya, saya hargai FU kerana sudah membayar tunggakan sebulan gaji pada tiga hari lalu. Tetapi, ingin saya ingatkan kepada mereka (pengurusan FU) supaya tidak hilang dan senyap begitu saja.

"Jangan jadi macam biskut, kejap ada kejap tak ada. Sebelum ini saya terpaksa bising kepada media mengenai hal ini supaya mereka mengambil tindakan untuk membayar.

"Jadi, saya harap mereka akan selesaikan baki dua bulan lagi dan juga tolonglah selesaikan perkara-perkara lain seperti bonus, duit potongan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan lain-lain," katanya ketika ditemui pada majlis kelahiran kelima tahun anak sulungnya, Dorshen Prisat Nair di sini, hari ini.

Kelmarin, FU mengesahkan pihaknya sudah membayar tunggakan gaji sebulan berbanding tiga bulan kepada semua pegawai dan pemain pasukan yang sudah bertungkus lumus hingga berjaya menjulang FU menjuarai Liga Perdana musim lalu.

Menerusi kenyataan media kelab itu, presidennya, Anuar Malek mengesahkan gaji bagi September sudah dibayar kepada semua pemain dan pegawai dengan baki tunggakan gaji bulan Oktober dan November akan dijelaskan selepas ini, tanpa memberikan sebarang tempoh tetap.

"Itu yang saya bimbang takut mereka senyap sebab pengurusan FU langsung tak panggil saya untuk terangkan kaedah pembayaran. Cuba bayangkan, Liga Malaysia untuk musim baharu akan mula bulan depan.

"Kalau mereka tak boleh jelaskan tiga bulan gaji kami sekaligus dan akan bayar secara berperingkat, macam mana nanti mereka nak bayar pula gaji pasukan sedia ada. Jangan pula gaji pemain sekarang mereka bayar, nanti gaji kami musim lalu masih tertangguh lagi sampai tahun depan.

"Ataupun, gaji kami mereka bayar tapi gaji pasukan sekarang mereka tak bayar. Jadi kesian pula pada pemain musim ini, kalau macam itu tak ada kesudahanlah masalah ini. Patutnya selesaikan dulu hutang lama, sebelum fikir nak beraksi untuk musim baharu," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 8:40pm
d