arena

Azmoun bawa Iran ke peringkat 16 terakhir

Oleh AFP

ABU DHABI: Dua jaringan Sardar Azmoun memastikan Iran menang 2-0 ke atas Vietnam sebentar tadi sekali gus mara ke peringkat 16 terakhir Piala Asia dan mencipta rekod baru kemenangan peringkat kumpulan.

Iran yang berazam menamatkan kemarau kejuaraan 43 tahun sepatutnya dapat menjaringkan empat atau lima gol tetapi dihampakan tindakan penyudah yang tumpul di Abu Dhabi.

Saman Ghoddos dan Mehdi Taremi hampir menembusi gawang Vietnam sebelum Azmoun menanduk masuk jaringan pertama selepas mendapat hantaran Ghoddos pada minit ke-38.

Penyerang Rubin Kazan itu kemudiannya merembat kencang dari pinggir kotak penalti untuk gol kedua Iran pada minit ke-70 yang juga jaringan ketiganya dalam kejohanan itu sekali gus kemenangan kesembilan berturut-turut peringkat kumpulan sejak 2007.

Diletakkan pasukan pilihan kejohanan bersama Korea Selatan, Iran membelasah Yaman 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Mereka perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Alireza Safar Beiranvand yang menyelamatkan percubaan Nguyen Cong Phuong pada awal separuh masa kedua tetapi keseluruhannya kubu mereka jarang digugat juara Asia Tenggara itu.

Disiarkan pada: January 12, 2019 @ 10:52pm
d