arena

Pecutan emas Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Azizulhasni Awang mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya meraih pingat emas acara pecut individu pada Kejohanan Trek Asia di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, sebentar tadi.

Dalam aksi final, jaguh basikal trek negara itu tewas perlumbaan pertama menentang Xu Chao dari China namun dia berjaya bangkit apabila memenangi perlumbaan kedua untuk mengheret perlumbaan ke aksi penentuan yang turut menyaksikan dia melakar kemenangan.

Sebagai rekod, ia adalah emas kelima direkodkan The Pocketrocketman dalam acara pecut individu pada kejohanan berkenaan selepas turut memenanginya pada edisi 2008, 2009, 2014 dan 2017.

Sementara itu, rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang tewas di tangan Azizulhasni dalam aksi separuh akhir meraih gangsa selepas menewaskan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Shah Firdaus memenangi kedua-dua perlumbaan.

Dalam saingan remaja, Muhammad Ridwan Sahrom meraih gangsa bagi acara pecut individu selepas menewaskan rakan senegara, Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Abdul Azim Aliyas turut cemerlang dalam acara perlumbaan mata apabila dia berjaya meraih perak dengan 31 mata.

Malaysia turut meraih gangsa acara individual pursuit menerusi Waldron Chee yang menewaskan pelumba Jepun, Hiroto Shinomiya pada penentuan tempat ketiga dan keempat dengan catatan 3:31.206s.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 12:59am
d