arena

Ogier intai kejuaraan ketujuh

Oleh Reuters

BIRMINGHAM, England: Juara rali dunia Sebastien Ogier menegaskan tekanan yang dirasainya semakin reda ketika dia bersiap sedia memburu gelaran ketujuh berturut-turut bersama Citroen.

Pemandu berusia 35 tahun dari Perancis itu tenang ketika majlis pelancaran musim baru WRC semalam ketika pasukan turut mempamerkan kereta dan pakaian rasmi yang akan digunakan pada 2019 menjelang perlumbaan pembukaan di Monte Carlo.

“Kesempatan memenangi enam gelaran menjadikan hidup saya lebih mudah dari segi menangani tekanan,” katanya.

“Saya bagaimanapun masih meletakkan banyak tekanan kepada diri sendiri kerana saya seorang pejuang tapi saya juga berasakan kemenangan membuatkan saya tenang dan memberi peluang untuk menikmati apa yang saya lakukan untuk terus maju ke hadapan.”

Rali Monte Carlo akan berlangsung dari 24 hingga 27 Januari ini.

Generasi peminat yang mengikuti perlumbaan ini menyaksikan hanya seorang pemenang sepanjang 15 tahun lalu yang mana pemandu Perancis dengan nama pertama yang sama Sebastien merangkul gelaran pada akhir musim.

Sebastien Loeb memenangi sembilan gelaran berturut-turut dan kemudiannya Ogier mengambil alih gelaran juara selepas itu.

Tahap penguasaan sedemikian akan melemahkan semangat sesetengah orang namun Ogier melihatnya dari sudut berbeza.

“Anda mempunyai seorang wira dalam setiap sukan. Bola sepak, tenis, olahraga. Anda melihat Usain Bolt mendominasi 100 meter untuk beberapa tahun dan saya rasa peminat menyukainya,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 11:27am
d