arena

WADA putus nasib Russia 22 Januari

Oleh AFP

PARIS: Pemimpin Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) akan membincangkan pematuhan agensi anti-doping Russia (RUSADA) pada 22 Januari ini, umum WADA semalam.

“Jawatankuasa Eksekutif WADA akan membincangkan cadangan jawatankuasa penilaian pematuhan (CRC) berkenaan status pematuhan RUSADA pada 22 Januari ini menerusi persidangan telefon,” kata WADA.

“Exco WADA meminta tempoh itu untuk menilai dengan teliti cadangan CRC (yang akan diberikan selewat-lewatnya pada 17 Januari) dan meminta pandangan pemegang taruh. WADA akan mengumumkan keputusan Exco pada 22 Januari selepas mesyuarat itu.”

RUSADA pada awalnya digantung oleh WADA pada 2016 selepas laporan bebas oleh Profesor Richard McLaren mendapati lebih 1,000 atlet meliputi 30 jenis sukan dibantu oleh doping tajaan negeri.

WADA dikecam teruk berikutan keputusan mereka menamatkan penggantungan Russia pada September lalu sebelum mendapat akses ke makmal anti-doping di Moscow.

Moscow gagal menepati tarikh akhir pada 31 Disember untuk memberikan akses penuh kepada WADA bagi meneliti data penting makmal yang sama ada mampu mendakwa atau membersihkan atlet terbabit kes doping.

Pasukan kedua pakar WADA bagaimanapun tiba di Russia, Rabu lalu bagi menyelesaikan proses pengambilan data termasuk keputusan ujian doping.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 11:35am
d