arena

Sarri intai muka baru Blues

Oleh Reuters

LONDON: Sekalipun Chelsea mengatasi Newcastle 2-1 awal pagi tadi, bos Maurizio Sarri menyatakan beliau perlukan pengganti di bahagian tengah jika mereka mahu terus memburu tiket automatik terakhir ke Liga Juara-Juara menerusi Liga Perdana Inggeris.

Menghuni tangga keempat liga, Blues menggunakan sepenuhnya kesempatan susulan kekalahan Arsenal malam tadi di tangan West Ham untuk membuka jurang enam mata di depan pasukan tangga kelima Gunners, yang akan ditemui mereka di Emirates minggu depan.

Chelsea bagaimanapun berdepan masalah dengan spekulasi pemain meninggalkan kelab itu. Willian, yang meledak gol kemenangan awal pagi tadi, dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke Barcelona dan pemain tengah Cesc Fabregas juga dijangka meninggalkan Stamford Bridge.

“Anda sedia maklum Willian bagi kami pemain yang amat penting,” kata Sarri kepada wartawan selepas pemain Brazil berusia 30 tahun itu menghukum pasukan diancam penyingkiran Newcastle.

“Kami perlukan pemain sayap, jadi kami perlukan Pedro, kami perlukan (Callum) Hudson-Odoi, sudah tentu kami perlukan Willian. Bagi kami, ketika ini dia seorang pemain yang terlalu penting.”

Di sebalik mempunyai ramai pemain, Sarri berkata, Chelsea kurang mantap di posisi utama seperti bahagian tengah.

“Seperti yang anda lihat, hari ini Jorginho bermasalah dan di bangku simpanan tiada pemain di posisinya, jadi saya perlukan pemain, saya perlu pelapis buat Jorginho,” ujar pengendali dari Itali itu.

“Kelab amat tahu mengenai pendapat saya, saya perlukan pemain di sana tapi ia bergantung kepada keputusan kelab.”

Apa pun peluang Sarri untuk meyakinkan kelabnya supaya berbelanja, pengurus Newcastle, Rafael Benitez tidak menjangkakan perubahan besar ketika jendela perpindahan pemain bulan ini.

“Dalam perlawanan menentang pasukan besar sebegini, kadangkala seorang pemain boleh mengubah segala-galanya,” Benitez memberitahu wartawan selepas Newcastle terjerumus ke tiga pasukan tercorot dengan 18 mata, satu mata di belakang Cardiff City selepas 22 perlawanan.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 11:54am
d