arena

Zuraimi jurulatih penjaga gol TRW

Oleh Attirmidzie Rahman

 

KOTA BHARU: Bekas penjaga gol Pahang dan kebangsaan, Zuraimi Hassan, dilantik sebagai jurulatih penjaga gol The Red Warriors (TRW) untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, yang mengharapkan kehadiran Zuraimi, 42, mampu memperkasakan barisan penjaga gol TRW.

Katanya, KAFA bersetuju mengikat kontrak Zuraimi yang juga bekas jurulatih FELDA United selama setahun untuk membimbing pemain posisi berkenaan sekali gus memperbaiki kelemahan ketara penjaga gol pasukan sebelum ini.

"Berdasarkan rekod baik jurulatih terbabit kami yakin beliau bakal merencana dan menyediakan penjaga gol yang mampu bersaing dengan pasukan lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Bibi Ramjani juga mengesahkan TRW bakal diperkuatkan kembali tonggak pertahanan import dari Brazil, Cassio de Jesus.

"Cassio akan memulakan latihan hari ini  dan bakal beraksi dalam perlawanan persahabatan pra musim ketiga menentang Terengganu FC II (TFC II) pada 16 Januari ini.

"Kehadiran Cassio diharap mampu mengembalikan semula kekuatan benteng pertahanan TRW untuk bergandingan dengan Farisham Ismail dan Azwan Aripin.

"TRW juga masih menguji bekas penjaga gol Melaka United (MU), Zamir Selamat namun KAFA belum membuat sebarang keputusan berhubung kontrak beliau," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 3:22pm
d